Wednesday, December 7, 2011

Ulasan Novel Andai Itu Takdirnya (SPOILER)


Sinopsis novel :


Aleya, seorang gadis yang cantik dan berlatarbelakangkan keluarga sederhana, dalam diam menyimpan perasaan pada seorang anak tokoh korporat yang ternama yang juga merupakan rakan sekuliahnya di universiti di United Kingdom, Syed Adam Aizril. Syed Adam Aizril, wajahnya yang tampan menjadikan dia kegilaan ramai gadis. Limpahan kemewahan meletakkan ego dan kesombongan di singgahsana yang paling tinggi.Mentalitinya yang mementingkan darjat dan kedudukan telah menutup pintu hatinya untuk mendengar bicara hatinya sendiri yang pada ketika telah mula ada getaran buat Aleya.

"Salahkah Leya mencari sedikit bahagia? Mengapa Leya tak pernah dapat merasainya? Hina sangatkah Leya sebab beribu dan berbapakan orang miskin? Memang Leya miskan tapi Leya juga jugak ada maruah diri."

Terjadinya suatu perkara yang menyatukan mereka. Tapi kerana terlalu ego, sombong dan mementingkan darjat, begitu hina Aleya dilayan Syed Aizril.

"Saya telah menjadi balu sebelu masanya dan anak-anak saya juga telah menjadi anak yatim sebelum masanya. Sembilan bulan saya mengandung mereka tanpa suami di sisi. Saya pekakkan telinga mendengar cemuhan masyarakat sekeliling."

Kuasa cinta, tiada siapa yang dapat menghalang. Mereka kembali bersatu atas penyesalan Syed Aizril. Ketika ingin menyulam bahagia dan menyemai kasih antara dua hati, munculnya Sharifah Emilin, sepupu kepada Syed Aizril yang membuat onar. Sharifah Emilin yang penuh di hatinya dengan ego, bongkak dan iri hati ingin menunaikan dendamnya pada Aleya yang dianggap merampas Syed Aizril yang konon dianggap sebagai kekasihnya. Namun, di hati Syed Aizril, hanya Aleya yang bertakhta.

"You dengar sini Zril, dendam I tak habis kat sini. I bersumpah, I akan pastikan hidup you musnah...musnah sebagaimana you musnahkan hidup I. I takkan lepaskan you. You tetap akan jadi milik I. I janji Zril, I janji."

Namun, ada kalanya cinta mereka teruji di tengah jalan. Kerana keegoan seorang lelaki yang menuncak, Syed Aizril telah melakukan kekhilafan yang hanya merugikan dirinya sendiri dan hampir-hampir menyebabkan dia kehilangan cinta sucinya.

"Leya jangan tinggalkan abang. Kembalilah sayang, kembalilah. Jangan teruskan perjalanan itu. Berilah abang peluang untuk membahagiakan Leya. Hentikan perjalanan itu sayang, pandanglah ke belakang walaupun cuma seketika."

Salahkah Aleya kerana memilih Syed Aizril dalam hidupnya?

"Namun dia terleka sebentar dengan kebahagiaan palsu yang diciptakan oleh suaminya. Habis manis sepah dibuang. Dia akhirnya menjadi pengemis cinta pada suaminya sendiri. Akhirnya dia telah terluka untuk kedua kalinya tetapi kali ini kelukaannya lebih dalam hingga meragut nyawanya sendiri. Itulah kisah perempuan yang bernama Nur Aleya binti Idris."

Cinta...cinta telah menjadikan Aleya, gadis yang pendiam dan berperibadi sederhana, seorang yang kuat, tabah, tegas dan berani, walau dalam hatinya penuh cinta dan kasih.

"Selama aku miniti liku-liku kehidupan yang penuh onak dan duri ni, aku tidak pernah pasrah dalam hidupku. Andai itu takdir-Nya sebelum menggapai bahagia aku redha. Namun sampai waktu apabila aku tidak mampu bertahan lagi, hatiku lebih keras dari kerikil."

Cinta...cinta telah mengubah Syed Aizril yang ego dan sombong kepada seorang yang sangat menghargai cinta dan kasih sayang.

"Leya, abang janji dengan nama ALLAH abang akan menjaga Leya hingga ke nafas yang terakhir. Percayalah sayang. Leya takkan keseorangan lagi. Abang sayang Leya dengan penuh hati abang."


Ulasan peribadi:

Jalan cerita novel ini sangat best. Penuh dengan emosi. Pembaca semestinya akan terbawa-bawa dengan emosi Aleya. Penulis berjaya menyampaikan cerita ini sehingga pembaca sendiri menitis air mata apabila menghayati watak Aleya yang selalu menghadapi dugaan dalam perkahwinan. Gaya penulisan  pula bagus walaupun novel ini novel pertama penulis. kalau tak bagus, tak adanya jadi novel terlaris kan.

Watak Syed Adam Aizril seperti watak-watak novel cinta lain. Tampan, kaya, educated tetapi penuh keegoan dan sombong. sememangnya hero tidak lari dengan klise bila digambarkan seorang yang tampan dan kaya. siapa lah yang tidak akan termimpi-mimpi dengan watak Syed Aizril dalam realiti walaupun sikapnya yang mementing ego. Walaupun begitu seperti yang dijangka walaupun pada mulanya beliau tidak menyukai Aleya kerana berbeza darjat, akhirnya beliau jatuh cinta kepada isterinya yang sentiasa tabah dan sabar dengan kata-kata dan sikap beliau sendiri.

Pada permulaan cerita sudah ada adegan pergaduhan antara Syed Aizril dan Aleya semasa mereka menuntut di UK. tetapi kebijaksanaan aleya sesekali mencabar keegoan Syed Aizril. Novel ini banyak berkisar tentang perkahwinan. Aleya yang dipandang hina dan didera oleh Syed Aizril membuat pembaca berasa simpati dengan Aleya. Tidak semua wanita sanggup didera secara emosi dan fizikal. Lagipun mereka kahwin paksa kerana ditangkap khalwat.

Akhirnya cinta telah membuat Syed Aizril telah mengubah beliau. Pastinya pembaca boleh merasakan bait-bait cinta dan kebahagiaan yang dapat dirasai oleh Aleya tetapi sangkaan mereka meleset. Seperti novel-novel cinta lain, watak orang ketiga atau watak jahat diwujudkan. Sharifah Emilin datang untuk merosakkan rumahtangga mereka kerana cinta beliau pada Syed Aizril. Macam biasa cemburu, dengki, iri hati, gedik. 

Kalau diikutkan Emilin pun wanita juga. Takkanlah wanita tidak memahami perasaan wanita lain apabila wujud situasi begini. ini lah dinamakan hati busuk. Syed Aizril pula boleh pula mahu kahwin dengan Emilin walaupun beliau sebelum ini pernah mengakui cintakan Aleya dan sudah menyesal atas perbuatannya. Egois!

Aleya diduga lagi! tapi beliau tabah. Emosi sedih pasti menguasai pembaca. Adakah ini pernah terjadi di dunia realiti atau sekadar imaginasi penulis? Kalau lah pernah berlaku dalam masyarakat, tidak terbayang perasaan wanita tersebut yang kahwin terpaksa dan terpaksa berhadapan dengan lelaki yang egois dan suka mendera ni. tambahan pula wujud orang ketiga. Dugaan dugaan!

Tapi setiap kesabaran ada balasannya. Akhirnya Aleya mencapai kebahagiaan yang melipat kali ganda dengan kehadiran anak-anak dan kasih sayang suami. Ya Happy Ending! kalau lah penamat nya juga tragis dan sedih, agaknya novel ini sudah lama dibakar oleh pembaca dan sudah tentu dimaki-maki oleh peminat novel. 

Pembaca sudah tentu terbuai-buai dengan adegan romantik antara Syed Aizril dan Aleya. Sikap romantik Syed Aizril memang tidak dinafikan dan menjadi idaman perempuan-perempuan di luar sana. Pada akhir-akhir cerita juga Syed Aizril digambarkan seorang daddy yang penyayang. Pembaca juga mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia seperti ending novel ini.

Patutlah novel ini diulang cetak banyak kali sejak 2007 tak silap. Novel ini juga  mendapat tempat pertama Anugerah Buku Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009 untuk kategori fiksyen Bahasa Melayu. malah ramai yang mahu novel ini diadaptasi ke filem dan drama. ya apabila membaca novel ini rasa macam sedang menonton drama di tv. tapi untuk mencari pelakon yang sesuai juga satu masalah kerana tak semua peminat novel ini setuju dan mereka ada cita rasa sendiri kan.

Bagi mereka yang peminat novel semestinya novel Andai Itu Takdirnya termasuk dalam senarai wajib baca terutama wanita-wanita di luar sana yang sudah berkahwin. Mungkin bagi remaja tidak berapa sesuai dengan jalan cerita yang banyak berlatarkan perkahwinan tetapi bagi mereka yang sememangnya suka novel yang bergenre begini, pasti sudah  lebih sekali mereka baca kan. Menangis lah dan senyum sorang-sorang semasa membaca novel ini jika anda masih punya perasaan.

Ranting : 5/5

No comments:

Post a Comment